ALONG (kiri) dan Abu yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan 1B menunjukkan slip keputusan SPM 2014 masing-masing ketika ditemui di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka semalam.
MELAKA – Bergelar pesalah juvana dan ditempatkan di pusat pemulihan akhlak tidak mematahkan semangat sekumpulan tahanan untuk mengejar impian cemerlang dalam pelajaran.
Itu yang dibuktikan dua penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini apabila mereka berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.
KETIKA ini seramai 201 pesalah juvana yang disabitkan atas pelbagai kesalahan ditempatkan di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.
Pernah menjadi ketua sebuah geng curi motosikal di Kedah, Along (bukan nama sebenar) mengakui, dia bersyukur kerana diberi peluang mengambil SPM walaupun telah disabitkan atas kesalahan jenayah.
Along, 21, yang dihantar ke pusat pemulihan itu sejak tahun 2012 lalu, menduduki SPM sebagai calon persendirian dan memperoleh 8A dan 1B.
Dia mendapat gred A+ dalam mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Perdagangan manakala gred A bagi subjek Pendidikan Islam, Matematik, Ekonomi Asas, Tasawwur Islam serta gred B (Bahasa Inggeris).
“Saya pernah ditahan polis beberapa kali namun dilepaskan kerana kekurangan bukti. Namun nasib tidak menyebelahi ketika kali keenam saya diberkas.
“Saya pernah ambil SPM pada 2011 tetapi keputusannya sangat teruk kerana ketika itu saya terlalu ‘sibuk’ mencuri motosikal,” katanya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment